HJ SUHAIMI BIN MAMAT

Penulisan artikel ini hanyalah pandangan penulis semata-mata. Apa yang dizahirkan dalam penulisan ini berpandukan pengalaman berkhidmat di pejabat tanah suatu ketika dahulu dan juga melalui kes-kes semasa tanah di mahkamah. Sedikit sebanyak pengetahuan ini dikongsi bersama warga organisasi dan orang awam amnya.

Suhaimi Bin Mamat (Penulis)

Sunday 15 March 2015


TANAH OH TANAH : SIRI KE 60
MASLAHAH AMMAH DALAM  PENGAMBILAN TANAH MENGIKUT HUKUM SYARAK
(BAHAGIAN KETIGA - AKHIR)

8        PRINSIP MASLAHAH AMMAH DALAM PENGAMBILAN TANAH MENGIKUT HUKUM SYARAK

Seperti yang telah diterangkan, doktrin fiqh atau maxim of fiqh yang sentiasa mengutamakan maslahah ammah daripada maslahah khashsah telah membawa para fuqaha menetapkan bahawa pelucutan hak milik individu untuk kemaslahatan umum dilakukan secara paksaan dari pemiliknya adalah diharuskan dan dikecualikan daripada hukum yang asal (Ali ‘Abd al-Wahid, 1979). Oleh itu jika pemilik tanah menahan atau menentang tindakannya dianggap zalim dan berdosa (Sa‘ad Muhammad Khalil). Walau bagaimanapun hukum pengambilan tanah berdasarkan maslahah bukanlah bersifat mutlak. Keharusan tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada prinsip-prinsip berikut:

8.1            Pengambilan Tanah Yang Dibuat Itu Hendaklah Seiring Dengan Maksud dan Tuntutan Syarak

Pengambilan tanah yang dibuat itu hendaklah seiring dengan maksud dan tuntutan syarak, tidak menafikan sesuatu hukum yang asal, tidak berlawanan dengan nas ataupun dalil yang telah disabitkan hukum secara qat‘ie (Abu Zahrah Muhammad). Ia juga hendaklah bertepatan dengan kemaslahatan yang dikehendaki dan diterima oleh al-Quran, al-Sunnah dan Qias (Wahbah, 1989). Ia selaras dengan kaedah fiqhiyyah bahawa setiap perkara atau sesuatu urusan itu bergantung kepada tujuan atau niat. Kepentingan pengambilan tanah itu hendaklah termasuk dalam tujuan syarak (Maqasid al-Syar‘iyyah) bertujuan untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.


8.2     Pengambilan Tanah Dilaksanakan oleh Pemerintah

Islam menjaga hak perseorangan dan mengiktiraf kepentingan individu. Tanah milik perseorangan tidak boleh dicerobohi. Orang perseorangan atau kumpulan tidak dibenarkan untuk mengambil tanah orang lain secara paksa walaupun untuk maslahah ammah. Hal ini kerana setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai maslahah ammah. Dua kumpulan yang sedang merebut kuasa akan menyatakan bahawa mereka mempunyai maslahah yang perlu diutamakan kerana mereka mendapat sokongan daripada pengikut masing-masing. Kedua-duanya bercakap benar dan tidak berbohong kerana mereka memiliki penyokong mereka sendiri. Jika orang atau dibenarkan untuk memgambil tanah orag lain cara paksa, maka akan berlaku saling ambil mengambil yang berakhir dengan perpecahan. Di samping itu juga amalan ini akan membuka ruang dan peluang kepada orang kaya untuk membuat sewang-wenangnya terhadap orang miskin dan golongan yang kuat akan mengeksploitasi golongan yang lemah yang berkesudahan dengan kezaliman. Ibn Khaldun dalam bukunya al-Muqqaddimah menyatakan bahawa mengambil harta secara paksa adalah melakukan suatu kezaliman. Kezaliman dalam bentuk apa jua sekalipun membawa kepada perpecahan dalam sesebuah masyarakat.

Justeru, bagi menjaga hak-hak dan perlindungan dalam menjamin tercapainya kemaslahatan umum, maka segala urusan yang berkaitan dengan pengambilan hak milik hendaklah dibuat oleh pemerintah, sebagai pihak pengurusan tertinggi dalam negara, atau wakilnya (Mahmud Syamam,1988). Mengikut Abd al-Salam, tindakan pengambilan tanah atau melucutkan hak milik seseorang itu semestinya dilaksanakan oleh pemerintah atau kerajaan kerana peranan pemerintah dalam Islam menjaga agama dan urusan dunia, untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mewujudkan manfaat umum adalah menjadi hak kepada kerajaan yang menjadi wakil kepada rakyat. Dengan kata lain, hanya pemerintah yang layak menentukan sama ada sesuatu itu maslahah ammah atau tidak. Oleh itu segala tindakan yang dilakukan oleh pemerintah terhadap rakyat adalah bergantung kepada maslahah seperti yang diterangkan oleh kaedah fiqhiyyah iaitu :
“segala urusan yang dibuat oleh pemerintah terhadap rakyat, adalah bergantung kepada kemaslahatan” (Ibn Nujaym, 1993).

Pada zaman Rasulullah S.A.W dan pemerintah  Khulafa’ al-Rasyidin, khalifah yang memutuskan mengenai pengambilan tanah secara paksa, sepertimana Saidina Umar al-Khattab mengambil tanah milik Muhammad bin Maslamah untuk projek pengiaran. Al-Imam Malik dalam Al-Muwaththâm’ meriwayatkan bahawa:

“Bersumber daripada Amr bin Yahya Al-Mazini, daripada ayahnya: “Sesungguhnya Al-Dhahhak bin Khalifah ingin mengalirkan air ladang miliknya dan itu harus melewati tanah Muhammad bin Maslamah. Oleh kerana Muhammad tidak mahu, Al-Dhahhak bertanya kepadanya: “Mengapa kamu menghalangiku? Sesungguhnya kamu juga akan beroleh manfaat. Dengan itu kamu boleh minum terus-terusan. Lagi pula tidak merugikan kamu”. Akan tetapi si Muhammad tetap saja tidak mahu. Ad-Dhahhak lalu melaporkan kejadian itu kepada ‘Umar bin Al-Khaththab, maka beliau lalu memanggil Muhammad bin Maslamah dan memerintahkan supaya dia memenuhi keinginan ad-Dhahhak. Namun tetap Muhammad menjawab: “Tidak”.  ‘Umar bin Al-Khaththab berkata: “Mengapa kamu halangi kepentingan saudaramu, sedangkan kamu juga akan mendapatkan faedah (keuntungan)? Kamu akan minum dengannya terus-terusan dan itu juga tidak membuatmu rugi”. Tetapi si Muhammad tetap menjawab: “Tidak”. ‘Umar lalu berkata: “Demi Allah, akan aku alirkan juga walaupun akan melewati (melintasi) perutmu.” Maka ‘Umar pun memerintahkan untuk mengalirkan, lalu Al-Dhahhak pun melakukannya. ”
(Hadis riwayat Malik)

Pada zaman moden, pemerintah/kerajaan membuat keputusan secara bersama melalui mesyuarat, permuafakatan, persepakatan atau consencus setelah mengambil kira pendapat masyarakat dan pandangan rakyat. Al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan kepada para perintah bermesyuarat dengan tokoh-tokoh masyarakat tentang perkara-perkara kepentingan awam, lebih-lebih lagi perkara yang tidak ada nas syarak yang muktamad (qati’i) mengenainya seperti pengambilan tanah. Pemerintah akan bermesyuarat menggunakan pertimbangan berdasarkan kepada siyasah syar’iyyah bagi maslahah ammah. Pemerintah yang tidak menghiraukan pandangan masyarakat dan pendapat rakyat dalam membuat keputusan dalam soal yang melibatkan kepentingan awam seperti pengambilan tanah dianggap mengamalkan pemerintahan kuku besi. Syariat Islam melarang pemerintahan atau kepimpinan yang mengamalkan pemerintahan kuku besi (istibdad) kerana terdedah kepada ketegangan hubungan antara kedua-dua pihak yang akhir merugikan umat Islam. Namun demikian, pemerintah juga tidak boleh terlalu mendengar atau mengikut nasihat rakyat terutama pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dengan menggunakan kerajaan sebagai mekanisme, maslahah ammah sebagai kambing hitam dan pengambilan tanah sebagai matlamat, dan akhirnya hak rakyat miskin yang menjadi korban. 

8.3     Maslahah Ammah Hendaklah Merupakan Maslahah Ammah Yang Sebenar-Benarnya (Haqiqiyah) Atau Qat‘iyyah.

Maslahah ammah yang disandarkan hukum ke atasnya hendaklah merupakan maslahah ammah yang sebenar-benarnya (haqiqiyah) atau qat‘iyyah dan bukannya maslahah ammah yang bersifat wahmiyyah. Apa yang dimaksudkan dengan haqiqiyyah di sini ialah kepastian pelaksanaan itu mendatangkan kebaikan kepada manusia dan menghindarkan daripada segala kemudharatan, tanpa wujud sebarang kesamaran atau keraguan tentang keberhasilan terhadapnya. Sekiranya maslahah ammah itu semata-mata sangkaan yang samar-samar (waham) pada pandangan kita ada kebaikannya, maka ia tidak boleh dijadikan hujah dalam penetapan hukum (Wahbah, 1989). Sebelum pengambilan tanah dibuat, kajian tentang kesesuian tapak perlu dibuat dan tujuan pengambilan tidak boleh direka-reka. Hal ini kerana pengambilan hanya wasilah atau cara kepada untuk mencapai matlamat.    

8.4            Tanah Yang Diambil Itu Digunakan Untuk Semua Atau Al-Kulliyat

Tanah yang diambil itu digunakan untuk semua atau al-kulliyat iaitu ia mendatangkan kebaikan dan menolak kemudaratan kepada seluruh manusia. Pengambilan tanah untuk untuk menaiktarafkan jalan raya, melebarkan sungai untuk mengelakkan banjir, membina masjid, rumah sakit, sekolah, jambatan dan seumpama dengannya adalah bersifat al-kulliyat. Sekiranya kemanfaatan itu hanya dimonopoli oleh sebilangan kecil manusia (juz’iyyat), maka ia tidak boleh dijadikan asas dalam penetapan sesuatu hukum (Wahbah, 1989). Mengikut Afandi (2008), pengambilan tanah wakaf untuk tapak perumahan tidak menepati prinsip ini kerana kepentingan wakaf bersifat al-kulliyat sedangkan manfaat perumahan bersifat juz’iyyat.  

8.5     Pengambilan Tanah Tidak Menghilangkan Atau Meluputkan Kepentingan Lain Yang Lebih Penting Daripadanya Atau Setaraf Dengannya.

Tindakan pengambilan tanah itu pada dasarnya tidak menghilangkan atau meluputkan kepentingan lain yang lebih penting daripadanya atau setaraf dengannya. Maslahah ammah tidak boleh mengorbankan maslahah ammah lain yang sedarjat apalagi yang lebih besar. Mengikut Affandi (2008), pengambilan tanah wakaf untuk pembinaan perumahan adalah bertentangan dengan prinsip ini kerana kepentingan wakaf lebih penting daripada kepentingan perumahan.    


8.6            Keputusan Pengambilan Tanah Itu Hendaklah Relevan, Munasabah Dan Boleh Diterima Oleh Akal Manusia.

Keputusan pengambilan tanah itu hendaklah relevan, munasabah dan boleh diterima oleh akal manusia dan melupuskan kesulitan yang biasa berlaku (Muhammad ‘Abd al-Jawwad Muhammad, 1971).

Kepentingan yang terhasil daripada pengambilan itu telah dikemukakan oleh pakar yang profesional.  Ia terdiri sama ada dari kalangan ahli perundangan agama atau mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan  (Muhammad ‘Abd al-Jawwad Muhammad, 1971) Hasil daripada pengambilan tanah itu secara langsung boleh dan benar-benar menghindarkan kesusahan yang pasti akan berlaku dan membawa kepada kesenangan dan kemudahan serta bermanfaat.

Hasil daripada pengambilan tanah itu secara langsung boleh dan benar-benar menghindarkan kesusahan yang pasti akan berlaku dan membawa kepada kesenangan dan kemudahan serta bermanfaat. Contohnya pengambilan tanah untuk projek membina saluran air. Dalam syariat Islam, air menjadi milik semua seperti yang telah dijelaskan oleh hadis Nabi yang bermaksud : “Manusia berkongsi milik pada tiga perkara: air, api dan rumput’. Setiap orang berhak mendapat air dari sumber semulajadi seperti sungai dan sebagainya. Tidak ada seorang pun yang boleh menghalang orang ramai daripada mendapat bekalan air tersebut. Oleh itu, syariat Islam memberi hak untuk mengalirkan air ke kawasan yang tidak ada atau tidak sampai air bagi kegunaan dan keperluan manusia, binatang ternakan, tanaman dan lain-lain). Demi kepentingan pemilik tanah yang tidak mendapat kemudahan air, pemerintah boleh membina saluran bagi mendapat kemudahan air tersebut dari punca yang terdekat dengan kawasannya walaupun terpaksa dibina di atas tanah orang lain dengan membuat pengambilan. Hasil daripada pengambilan tanah tersebut, saluran air dapat dibina dan tanah yang terletak jauh dari sumber air, mendapat bekalan air. Pemiliknya dapat mengusahakan tanah tersebut bagi mencari rezeki untuk keluarganya. Sekiranya tiada sumber air, tanah tidak dapat diusaha dan tuan tanah tiada sumber pendapatan. Justeru, hasil daripada pengambilan tanah itu benar-benar memberi manfaat, kesenangan dan kemudahan serta menghindarkan kesusahan yang pasti akan berlaku. 

Begitu juga dengan pengambilan tanah untuk melakukan kerja-kerja membuat parit bagi membuang air kotoran dari kawasan atau tanah milik seseorang yang memerlukannya untuk, dialirkan ke kawasan buangan. Melalui parit buang ini, air lebihan atau kotoran dapat dialir keluar bagi menjamin tanaman tidak rosak akibat ditenggalami air atau terlebih air. Justeru, pengambilan ini secara langsung membawa kemudahan dan mengelak kemudaratan. Tindakan  ini selaras dengan dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan tidak aku jadikan kepada kamu dalam urusan agama daripada kesusahan”. (22:78).

8.7     Tanah Yang Diambil Daripada Pemiliknya Tidak Boleh Digunakan Untuk Pelaburan Sama Ada Untuk Orang Ramai Ataupun Untuk Individu Tertentu.

Pelaburan dalam Islam membawa pengertian amat luas meliputi aspek pelaburan harta yang dimiliki untuk manfaat sama ada manusia mahupun makhluk ciptaan Allah yang lain. Ini boleh dilakukan dengan membelanjakan harta dalam bentuk zakat, sadaqah, infaq dan lain-lain bentuk pengagihan harta yang memberikan manfaat kepada yang memerlukan. Pelaburan bentuk ini tidak mendapat ganjaran di dunia namun keuntungan lebih bermakna diterima di akhirat kelak. Pelaburan yang lebih khusus ialah pelaburan ekonomi iaitu dengan membelanjakan lebihan pendapatan/harta dengan matlamat untuk mendapat keuntungan pada masa depan dalam bentuk keuntungan modal (kenaikan harga) mahupun keuntungan perniagaan (dividen) dan lain-lain. Antara banyak-banyak bentuk pelaburan, pelaburan dalam bentuk tanah sangat unik, menarik dan unggul jika dibandingkan dengan aset lain seperti terbitan awam, pasaran modal, saham amanah lain-lain sekuriti kerana: (i) tanah adalah pelaburan hybrid yang kompleks kerana ia mampu menawarkan pulangan bukan sahaja dari sewa, malah dari potensi pertumbuhan nilai modal; (ii) ketidaksamaan atau heterogeneity adalah ciri pelaburan harta tanah yang boleh menawarkan potensi kepelbagaian dalam pelaburan yang tidak ada dalam sebarang pelaburan sekuriti; (iii) portfolio harta tanah itu sendiri mengandungi beberapa jenis atau kategori harta tanah yang mampu untuk mengurangkan risiko portfolio; (iv) nilai dan pulangan tanah selalunya memperlihatkan turun naik yang rendah berbanding saham dan bon; dan (v) kestabilkan prestasi pelaburan tanah adalah lebih baik.

Walau bagaimana pun, kekurangan stok penawaran tanah utama dan strategik di bandar-bandar utama menjadi halangan. Wujudnya persaingan yang juga ingin membeli tanah yang baik terletak di lokasi yang strategik dan utama untuk dijadikan sebagai pelaburan menyebabkan tanah berkenaan menjadi lebih tinggi. Lantaran itu perolehan tanah melalui pembelian memerlukan kewangan yang banyak dan jumlah modal yang besar. Salah satu cara untuk memperoleh tanah yang stratergik dan berskala besar, khususnya di kawasan bandar utama melalui pengambilan tanah. Melalui kaedah ini, tanah-tanah yang berpotensi serta berdaya maju di lokasi terpilih diperoleh dengan cepat dan mudah. Tanah ini kemudiannya di buat plot-plot tanah perindustrian, plot-plot tanah pembangunan, unit-unit perumahan dan komersil dan dijual dengan harga yang berganda daripada nilaian semasa pengambilan. Ketika ini pihak yang mengambil tanah telah mendapat keuntungan lumayan dalam bentuk keuntungan modal dan lain-lain ekoran daripada penjualan tanah yang diambil secara paksa. Majlis Mu‘tamar al-Fiqh al-Islami telah yang diadakan di Jeddah pada 6-11 April 1988, menetapkan bahawa tanah yang diambil daripada pemiliknya tidak boleh digunakan untuk pelaburan sama ada untuk orang ramai ataupun untuk individu tertentu.

8.8     Tidak Boleh Mengambil Tanah Bermilik Sebelum Sampai Tempoh Yang Benar-Benar Diperlukan.

Tidak boleh mengambil tanah sebelum sampai tempoh yang benar-benar diperlukan. Pengambilan tanah untuk dijadikan sebagai simpanan atau stok bagi keperluan pembangunan pada masa hadapan tidak dibenarkan. Konsep bank tanah tidak diharuskan. Hal ini kerana tanah yang diambil tidak dibangunkan segera. Tidak ada keperluan untuk berbuat demikian. Tanah diambil melalui konsep bank tanah dibayar pampasan dengan kadar nilaian semasa atau dengan harga sekarang (today price) dan disimpan sebagai stok untuk keperluan di masa akan datang. Tindakan ini memberi keuntungan kepada pihak yang mengambil tanah kerana peningkatan nilai tanah atau appreciation. Oleh sebab permintaan yang sentiasa tinggi dan penawaran yang terhad, menyebabkan nilai tanah bertambah dan memberi pulangan dalam bentuk laba modal. Sementara menunggu untuk dibangunkan, tanah tersebut boleh di sewa dan di pajak yang juga memberi pendapatan sampingan atau tambahan. Pengambilan tanah melalui konsep bank tanah ini boleh menyebabkan berlakunya tanah terbiar kerana pihak yang mengambil tanah berkecenderungan untuk membiarkan sementara menunggu masa untuk dimajukan. Tindakan ini tidak selaras dengan konsep pemilikan tanah yang menghendaki supaya tanah diusahakan bagi manfaat diri, keluarga dan masyarakat.

Bagi tanah ladang yang masih mengeluarkan hasil atau kebun buah-buahan, tindakan membiarkan tanpa diurus dan dijaga dengan baik boleh membawa kepada pembaziran dan mengkhianati susah payah usaha bekas tuan tanah menanam dan menjaga sehingga mengeluarkan hasil tetapi akhirnya terbiar. Oleh sebab itu syariat Islam tidak membenarkan pengambilan tanah dibuat sebelum tempoh yang benar-benar diperlukan. Tujuannya adalah untuk mengelak daripada tanah yang diambil terbiar atau tidak dibangunkan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada bekas tuan tanah. Matlamat pengambilan tanah tidak tercapai bahkan terdedah kepada kerosakan, sedangkan tujuan pengambilan untuk menolak kerosakan dan mengambil manfaat.

9                   RUMUSAN


Menurut syariat lslam, ada dua keperluan asas manusia iaitu: (i) keperluan asas untuk setiap individu seperti makanan (dan minuman), pakaian dan tempat tinggal yang merupakan keperluan asas (basic needs); dan (ii) keperluan asas atau basic rights untuk rakyat seperti keselamatan, kesihatan, pendidikan, kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam. Kewajipan untuk memenuhi basic needs diri dan keluarga berada di tangan seorang lelaki/suami/bapa. Islam mewajibkan lelaki yang mampu untuk bekerja memenuhi nafkahnya mengikut taraf hidup (secara makruf). Pengingkaran/pengabaian seorang lelaki yang mampu untuk mencari nafkah sendiri atau memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak adalah suatu dosa dan wajib dikenakan takzir oleh pemerintah. Manakala kerajaan pula bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan, kesihatan dan pendidikan kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam untuk rakyatnya, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud  “Imam itu pemelihara dan dialah yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya” [HR Mutafaq Alaih].  Sebuah negara Islam wajib menjamin basic rights rakyat dengan menyediakan kemudahan kesihatan, pendidikan semua tingkat pengajian dan keamanan secara percuma kepada rakyatnya, tanpa mengira sama ada kakitangan kerajaan atau pekerja swasta mahupun penganggur. Kemudahan ini juga bukan khusus untuk golongan miskin tetapi negara wajib menyediakannya secara percuma kepada semua rakyat.


RUJUKAN ASAS

1.     Mohd Affandi bin Mat Rani (2007). “Pengambilan Tanah Wakaf Oleh Pihak Berkuasa Negeri: Analisis Menurut Perspektif Undang-Undang Islam dan Aplikasinya di Malaysia”. Tesis PhD, Universiti Malaya.

2.     Zulfifli bin Mohamad (1998). “Pengambilan Tanah Untuk Kemaslahatan Umum: Kajian Perbandingan Antara Siasah Shari’yyah Serta Perlaksanaanya di Malaysia. Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia.   

RUJUKAN

1.                 Abu Zahrah Muhammad (t.t), Usul al-Fiqh,  Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi.

2.    Al-‘Alim, Yusuf Hamid (1994), Al-Maqasid al-‘Ammah li al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Ma‘ahad al-‘Alami li al-Fikr al-Islami..

3.             Al-Buti, Muhammad Sa‘id Ramadan (1965), Dawabit al-Maslahah fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Damsyiq: Maktabah al-Umawiyyah.

4.          Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad (1993), Al-Mustasfa fi’Ilmi al-Usul, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut.

5.          Al-Jurjani. Tanpa Tahun. At-Ta’rifat. Jeddah : Al-Haramain.

6.          Al-Khallaf, ‘Abd al-Wahab (1995), ‘Ilm Usul al_Fiqh, cet.7, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi

7.     Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1992), al-Fiqh al-Manhaji ala Madhhab al-Imam al-Syafi‘i. Damsyiq:Dar al-Ilmi.

8.   Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1994), Athar al-Ikhtilaf fi al-Qawa‘id al-Usuliyyah fi Ikhtilaf al-Fuqaha’, cet.5, Beirut: Mu’assasah al-Risalah,

9.                 Al-Syatibi, Abi Ishak (t.t.), Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari‘ah, jld.2, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

10.            Al-Wafi, ‘Ali ‘Abd al-Wahid (1979), Huquq al-Insan fi al-Islam, cet.5, Kaherah: Dar al-Nahdah

11.            Al-Zarqa, Syaykh Ahmad b. Syaykh Muhammad (1989), Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, cet.2, Damsyik: Dar al-Qalam

12.            Amir, Dja’far. Tanpa Tahun. Qaidah-Qaidah Fiqih. Semarang : Ramadhani

13.            An-Nabhani, Taqiyuddin. 1953. Asy-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah. Juz III (Ushul Al-Fiqh). T.tp. : Mansyurat Hizb Al-Tahrir

14.            Fuad Ifram al-Bustani (1987), Munjid al-Tullab, cet.3. Beirut: Dar al-Masyriq.

15.       Ibn Manzur, Jamaludin Muhammad bin Mukram, (1990),  Lisan al-‘Arab, Jld.2, Beirut: Darul Dar al-Fikr.

16.           Ibn Nujaym, Zayn al-‘Abidin b. Ibrahim (1993), Al-Ishbah wa al-Naza’ir, cet.1, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

17.   Ibu Qayyim al-Jauziyyah (1961). Al-Thuruq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al- Sya’iyyah al-Mu’assasah al-Arabiayyah li al-Tiba’ah wa al- Nasr.

18.            Jamiah Imam Muhammad ibn Saud al-Islamiyyah, Riyad, 1414H/1993,

19.   Kamus al-Munjid fi al-Lughah wa al-A‘lam (1992), cet.33, Beirut: Dar al-Masyriq. 

20.            Kamus Dewan (2002), Edisi Ke.3, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

21.            Mahmud Syamam (1998), Intiza al-Milkiyyah li al-Maslahah ‘Ammah, Mu’tamar Majma’ al- Fiqh al-Islami, Bil. IV, Jld.2, Jeddah

22.            Muhammad ‘Abd al-Jawwad Muhammad (1971), Milkiyyah al-Aradi fi al-Islam Tahdid al-Milkiyyah wa al-Ta’mim, Kaherah: al-Tab‘ah al-‘Alamiyyah.

23.            Mustaffa Dieb al-Bugha, Athair al-Adillatu al-Mukhtalafu fiha fi al-Islami, Dar al-Quran, Damsyik, 1413H/1993.

24.            Sa’ad Muhammad Khalil (t.t), Naz’ al-Milkiyyah li al-Manfa’ah ‘Ammah Baina al-Syariah wa al-Qanun, Kaherah: Dar al-Salam

25.            Zaydan, ‘Abd al-Karim (1994), Al-Waj’iz fi Usul al- Fiqh, Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 

26.          Zuhayli Wahbah (1989), Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Cet. 3, Jld.5, Damsyiq: Dar al-Fikr.

1 comment:

  1. Casinos Near Casinos Near Casinos Near Me - MapYRO
    Find 김제 출장안마 the 군산 출장마사지 nearest Casinos to you and other nearby Casinos. With a map showing 부산광역 출장안마 casinos, get to 경주 출장샵 know all about gaming, 광주 출장샵 winning and losing,

    ReplyDelete