HJ SUHAIMI BIN MAMAT

Penulisan artikel ini hanyalah pandangan penulis semata-mata. Apa yang dizahirkan dalam penulisan ini berpandukan pengalaman berkhidmat di pejabat tanah suatu ketika dahulu dan juga melalui kes-kes semasa tanah di mahkamah. Sedikit sebanyak pengetahuan ini dikongsi bersama warga organisasi dan orang awam amnya.

Suhaimi Bin Mamat (Penulis)

Sunday 1 March 2015



TANAH OH TANAH : SIRI KE 59
MASLAHAH AMMAH DALAM  PENGAMBILAN TANAH MENGIKUT HUKUM SYARAK
(BAHAGIAN KEDUA)

5        PEMBAHAGIAN MASLAHAH DARI SUDUT RUANG LINGKUP

Maslahah dari sudut ruang lingkupnya terbahagi kepada tiga iaitu maslahah ammah, maslahah aghlabiyyah dan maslahah khashsah (Yusuf Hamid, 1994).  Maslahah ammah atau al-kulliyyah adalah merupakan kepentingan umat Islam sejagat bagi sesuatu negara (Wahbah, 1989) atau manfaat yang dikembalikan kepada seluruh masyarakat atau sebahagian daripada mereka tanpa dikhususkan kepada satu-satu pihak. Maslahah aglabiyyah (kepentingan yang pada kebiasaan) yang melibatkan kepentingan sebahagian besar umat Islam secara global. Ia merangkumi maslahah  daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Maslahah khashsah (kepentingan orang perseorangan) yang melibatkan kepentingan hak individu atau golongan tertentu.
 6        PEMBAHAGIAN MASLAHAH DARI SUDUT KEPERLUAN

 Maslahah dari sudut keperluan mencapai kebaikan dan menolak kerosakan terbahagi kepada tiga (Wahbah, 1989) iaitu: (i) Maslahah Qati‘iyyah: Maslahah yang statusnya diyakini yang dinyatakan secara jelas di dalam nas dan tidak membawa kepada sebarang pentakwilan. (ii) Maslahah Zanniyah: Maslahah yang difikirkan dengan akal dan tidak ada dalam lingkungan Maqasid al-Syar‘iyah ataupun kemaslahatan yang sabit melalui nas-nas yang bersifat zanni. (iii) Maslahah Wahmiyah: Maslahah yang disangka adanya manfaat dan kebaikan namun apabila dibuat penelitian ia didapati membawa kepada kemudaratan.

7        PRINSIP PENGAMBILAN TANAH MENGIKUT SYARIAT ISLAM

 Islam menjaga hak perseorangan dan mengiktiraf kepentingan individu. Dalam masa yang sama Islam juga menjaga hak orang ramai dan kepentingan awam. Bila berlaku pertembungan antara kedua-dua kepentingan ini, syariat Islam melihat kepada maslahah. Ahli-ahli usul fiqh telah menetapkan prinsip pemilihan (tarjih) atau penyelesaian (mu’alajah)  melalui beberapa kaedah fiqh (maxim of fiqh) yang terdapat dalam ilmu usul al-fiqh (principles of islamic jurisprudence) iaitu:

 7.1     Pertembungan Antara Beberapa Maslahah

Dalam situasi ini, ahli-ahli usul fiqh telah menetapkam bahawa prinsip pemilihan atau kaedah penyelesaian iaitu mendahulukan maslahah ammah berbanding maslahah khashsah (individu); mendahulukan maslahah yang besar / utama daripada maslahah yang kecil; dan mendahulukan maslahah orang hidup lebih utama daripada maslahah orang mati; mengutamakan perkara daruriyat daripada hajiyyat dan perkara hajiyyat daripada tahsiniyyat; mengutamakan menjaga agama, kemudian jiwa, kemudian akal, kemudian keturunan, dan terakhir harta; mendahulukan maslahah yang banyak berbanding maslahah yang sedikit; mendahulukan maslahah yang sudah pasti ke atas maslahah dalam jangkaan atau masih diragui kedudukannya; mendahulukan maslahah yang berterusan dan berkesinambungan berbanding maslahah yang sementara; mendahulukan maslahah inti dan prinsip yang fundamental berbanding maslahah yang bersifat luaran (cabang) dan tidak penting; dan mendahulukan maslahah masa depan yang kuat, kukuh dan pasti berbanding maslahah semasa yang lemah dan tidak pasti.

 7.1.1  Mendahulukan Maslahah Ammah Berbanding Maslahah Khashsah (Individu)
Maslahah ammah adalah kemaslahatan umum yang berkaitan kepentingan orang ramai. Kemaslahatan umum ini tidak bererti untuk kepentingan semua orang, tetapi boleh berbentuk kepentingan majoriti umat. Maslahah khashsah adalah kemaslahatan peribadi. Maslahah khashsah ini sering terjadi dalam kehidupan kita seperti kemaslahatan yang berkaitan dengan mencari dan mengumpul harta seperti tanah untuk diusahakan sebagai sumber pendapatan bagi menyara kehidupan diri dan keluarga atau lain-lain kegunaan. Jika berlaku pertembungan antara kedua-dua maslahah ini, maslahah ammah hendaklah diutamakan daripada maslahah khashsah (individu). Contohnya, tanah milik yang terletak bersebelahan dengan hospital, tuan tanah telah merancang untuk membangunkan tanah   tersebut dengan projek perumahan dimana kelulusan perancangan daripada Pihak Berkuasa Tempatan telah diperoleh dan dalam masa yang sama tanah tersebut juga diperlukan untuk pembesaran hospital, maka mengikut prinsip ini, keutamaan hendaklah diberikan kepada kegunaan tapak hospital kerana manfaatnya lebih besar berbanding dengan manfaat yang diperolehi oleh tuan tanah hasil dari projek perumahan.    

 Prinsip didahulukan maslahah ammah ke atas maslahah khashsah (al-Shatiby, 1991) ini telah digunapakai untuk membuat pengambilan tanah bagi tujuan pembesaran Masjid Nabawi di Madinah, walapun tidak mendapat keredaan pemilik dan persetujuan tuan tanah, pemerintah boleh berbuat demikian atas prinsip maslahah ammah diutamakan daripada maslahah khashsah (Ibn Qayyim, 1961). Justeru, pengambilan tanah milik individu untuk kepentingan individu adalah diharuskan.

 7.1.2  Mendahulukan Maslahah Yang Besar/Utama Daripada Maslahah Yang Kecil; dan Mendahulukan Maslahah Orang Hidup Lebih Utama Daripada Maslahah Orang Mati

 Maslahah besar/utama hendaklah didahulukan daripada maslahah yang kecil seperti keperluan terhadap tapak perkuburan di atas tanah persendirian sebagai tapak projek pembangunan seperti perumahan. Disini berlaku pertembungan antara maslahah orang mati dengan maslahah orang hidup. Menurut syariat Islam, kawasan yang ada kubur itu adalah hak mayat yang ditanam di situ. Kawasan tersebut tidak boleh diganggu. Mayat yang belum hancur atau belum menjadi tanah keseluruhannya adalah haram membongkarkan kerana menghormati mayat. Malah kawasan perkuburan itu perlu dijaga, dipagar, diawasi dan dibersihkan serta dihalang daripada sebarang pencerobohan seperti pembinaan bangunan. Tuan tanah dimana kubur itu teletak tidak dibenarkan untuk menjualnya terutama kepada orang bukan beragama Islam untuk mengelak daripada tidak dihormati, diperlakukan sebarangan dan ditakuti terdedah kepada kehinaan. Atas prinsip ini pada tahun 1996, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan telah menyarankan kepada pihak berwajib atau kerajaan supaya berusaha menyelamatkan lebih kurang enam puluh kubur lama orang Islam yang terletak di atas tanah lot 4247 Mukim Kontong, Kota Bahru (kawasan 1.6212 hektar) milik Tun Tuan Peh dengan cara mengambil balik tanah milik itu menurut saluran undang-undang yang berkuatkuasa sekarang.

 Bagi menjaga kemaslahatan orang mayat, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam kes G.Rethinasamy lwn Majlis Ugama Islam, Pulau Pinang dan Satu Yang Lain ([1993[ 2 MLJ 166), telah memutuskan bahawa lot 1214 yang dimilki oleh plaintif di mana terdapat kubur orang Islam dibuat pecah sempadan dan mengarahkan pendaftar hakmilik Pulau Pinang mengeluarkan dua hak milik berasingan. Bahagian yang kosong didaftarkan atas tanah plaintif dan bahagian yang ada kubur didaftarkan atas mana Majlis Ugama Islam. Mengikut fakta kes lot 1213 dan lot 1214 adalah berjiran dan pada asalnya terkandung dalam satu geran. Kedua-dua lot ini dimiliki oleh tuan punya yang beragama Islam. Sebahagian daripada lot 1214 telah digunakan untuk tujuan agama, tempat sembahyang, setor dan kubur, bersama-sama dengan masjid di lot 1213. Pemilik lot 1214 kemudiannya menjual bahagiannya kepada seorang lelaki Cina yang tidak beragama Islam. Beberapa ketika selepas itu, lelaki Cina tersebut menjual pula kepada plaintif yang juga tidak beragama Islam. Plaintif telah merancang untuk membangunkan tanah berkenaan dengan projek perumahan tetapi kubur dan bangunan masjid yang terletak di atas tanahnya jadi penghalang. Beliau memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa dia adalah pemilik lot itu dan berhak mendapat milikan tanpa gangguan, gantirugi, faedah, milikan kosong dan kos. Beliau juga telah meminta Ahli Jawatankuasa Masjid supaya memindahkan kubur yang terdapat dalam lot 1214 dan merobohkan dua bangunan sementara yang terletak di atas tanahnya. Hakim bicara memutuskan bahawa bahagian yang terdapat kubur adalah tanah wakaf dan perlu dikekalkan sebagai wakaf. Dengan keputusan tersebut kubur dan masjid kekal di atas tapak asal.

 Dalam beberapa kes yang ditemui, tanah perkuburan Islam terlibat dengan pembangunan seperti untuk tapak projek perumahan. Seperti yang sedia maklum, manusia yang hidup di atas muka bumi memerlukan tempat kediaman atau rumah untuk dijadikan sebagai keperluan diri dan keluarga. Kediaman juga adalah basic need (surah al-Nahl 16 : 80-81), rumah yang selesa adalah ciri kebahagiaan. Keperluan terhadap rumah bagi pada asalnya adalah berada pada tahap daruriyyat. Hidup tidak akan sempurna tanpa rumah. Rasulullah S.A.W menyifatkan rumah sebagai tempat perlindungan peribadi, di mana Baginda pernah memberi amaran akan menyucuk mata sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang. Dalam Islam, perlindungan peribadi yang diperlukan dalam rumah adalah bagi tujuan bermunajat dengan Allah S.W.T terutamanya pada waktu malam. Rasulullah S.A.W menyifatkan rumah kediaman laksana sebuah masjid bagi kaum perempuan menunaikan solat fardu dan kaum lelaki menunaikan solat-solat sunat seperti solat hajat, tahajud, witir dan jenazah. Rasulullah S.A.W. menyatakan rumah menjadi penentu kepada kebahagiaan seseorang manusia. Kebahagiaan seseorang sebenarnya bermula dari rumah. Kalau di rumah lagi seseorang itu tidak bahagia, maka di pejabat, di masjid dan di mana-mana sahaja dia tidak akan bahagia. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa empat perkara yang boleh menjanjikan kebahagiaan kepada seseorang, iaitu isteri baik, rumah selesa, jiran baik dan kenderaan selesa. Dalam konteks kekeluargaan, rumah menjadi tempat pembentukan nilai-nilai qudwah hasanah (teladan yang baik), ditegakkan syariat Islam, dan dapat menghindarkan penghuninya daripada hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama, dan berperanan sebagai tempat pembinaan generasi akan datang. Rumah juga mencerminkan tiga hal pokok yang utama, iaitu hubungan manusia dengan Allah s.w.t. (hablum minallah), hubungan manusia sesama manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam (hablum minal alamin). Menjadi tanggungjawab utama kaum bapa sebagai ketua dalam rumah tangga untuk menyediakan rumah bagi anggota keluarganya yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W. bahawa sebagai faktor penentu kepada kebahagiaan seseorang manusia.

Untuk mendapatkan tanah sebagai tapak rumah terutama di bandar-bandar besar khusunya bagi golongan pendapatan rendah dan miskin amat sukar. Mereka mengharapkan rumah-rumah yang disediakan oleh kerajaan. Justeru menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan rumah yang bersesuaian kepada setiap rakyat yang memerlukannya. Rancangan perumahan negara dilaksanakan secara berkesan agar setiap keluarga mempunyai tempat kediaman yang selesa, dalam persekitaran yang menggalakkan perkembangan minda dan akhlak yang sihat. Kelengahan dan kegagalan menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada rakyat boleh menimbulkan masalah sosial dan keselamatan yang turut menghambat usaha-usaha pembentukan sistem dan nilai-nilai kekeluargaan yang murni dan unggul seperti yang di tuntut oleh Islam. Masalah rakyat tidak berumah adalah isu sosial yang kritikal dan perlu ditangani segera oleh Kerajaan dan tidak boleh sama sekali diabaikan. Lantaran itu pengambilan tanah untuk tapak projek perumahan rakyat miskin adalah dianggap sebagai suatu maslahah daruriyat.
 Melihat kepada kedudukan hak kubur yang wajib dihormati seperti tidak boleh (haram) dibongkar tanpa sebab syarak dan hak orang yang masih hidup seperti sangat memerlukan rumah, maka di sini dapat dilihat pertembungan dua hak yang berbeza; hak orang yang sudah mati dan hak orang yang masih hidup. Hak orang yang masih hidup (dalam konteks perkara di atas) hanya akan tercapai dengan memberi keutamaan kepada orang hidup itu lebih daripada orang mati. Jika bertembung dua kepentingan yang sama, maka terpaksa melanggar hak orang yang sudah mati, ertinya rumah mesti didirikan dengan mengenepikan hak kubur.

 Mengikut kaedah usul fiqh, jika dua perkara bertembung; maka perkara yang diperlukan lebih didahulukan kerana mashlahahnya yang lebih kuat sebagaimana yang disimpulkan dalam kaedah-kaedah berikut:

Ertinya: “Hajat (keperluan) ditempatkan pada kedudukan darurat, sama ada (keperluan) itu benumum atau khusus.”

 Maksud darurat di sini ialah keadaan yang membolehkan seseorang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan kerana adanya sesuatu bahaya.
Adapun maksud keperluan itu ialah keadaan yang menghendaki seseorang melakukan sesuatu yang tidak mengikut peraturan yang semestinya bagi menghindari kesukaran tetapi bukan menghindari bahaya. (Pindaan Qaidah Fiqh:66-67)

Ertinya: “Hukum itu mengikut kemaslahatan yang rajah (kuat).”

 Maksud kaedah ini ialah pelaksanaan hukum itu berdasarkan mana yang paling kuat maslahatnya. (Qaidah-Qaidah Fiqh:71)

            Ertinya: “Apa yang diharamkan kerana menghalang terjadi perkara yang    
haram, ia adalah diharuskan kerana ada mashlahat yang kuat.” (Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah:155).

 Berdasarkan kaedah ini, oleh kerana kubur yang berada di dalam kawasan tanah perseorangan, maka hak kubur itu boleh dilanggar dengan membongkarkannya, kemudian memindahkannya ke perkuburan awam dan pelanggaran ini dibuat kerana adanya mashlahat yang lebih kuat dan diperlukan oleh orang yang masih hidup. Di samping itu mengekalkan kubur berhampiran dengan rumah yang akan didirikan itu ditakuti terdedah kepada penghinaan. Jika ini berlaku, maka harus dipindahkan kubur itu ke tempat lain. Menurut fatwa Mufti Kerajaan Brunei, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Ismail ketika diminta fatwa mengenai kubur di tapak projek Lapangan Terbang Brunei yang akan dibangunkan, Pehin mengatakan: “Apakala ditakutkan kubur-kubur akan terhina tiadalah berdosa pada memindahkan kubur-kubur itu ketika itu bahkan wajib jika kubur-kubur itu terhina bagaimana sahabat-sahabat Nabi S.A.W telah memindahkan orang syuhada’ dari kubur-kuburnya kerana menjauhkan kubur-kubur itu dari kena basah.” Berdasarkan keterangan-keterangan di atas maka bolehlah kubur berkenaan dibongkar dan dipindahkan ke tanah perkuburan awam (Awang Abdul Aziz, 2000).

 Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang pada tahun 1986 mengeluarkan fatwa yang sama dengan membenarkan kesemua kubur lama bahagian sebelah dalam di kawasan yang sama di lot 1056 dan 1057 Lebuh Chulia bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan tersebut. Kebenaran juga diberikan untuk memindahkan kubur-kubur di atas lot 13 T.S.6 NED Pulau Pinang untuk didirikan rumah-rumah. Tanah perkuburan juga boleh digunakan untuk tujuan memperbesarkan ban kampung kerana pembesaran itu adalah maslahah ammah kepada masyarakat. Mana-mana perkuburan yang terlibat yang sudah berusia 100 tahun bolehlah ditambun diatasnya tanpa dikorek atau digali kubur-kubur itu kerana di dalam tempoh itu pada gholibnya juzu’-juzu’ mayat semuanya telah hancur lebur dan mana-mana perkuburan yang terlebih berusia 60 tahun kebawah hendaklah digali atau dikorek dengan cermat dan jika didapati juzu’-juzu’ mayat maka hendaklah dihimpunkan dan jika ditanam semula di mana-mana tanah perkuburan Islam (Mufti Kerajaan Negeri Kedah).

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada 24/4/1994 telah membenarkan untuk mengalihkan kubur Islam di atas tapak projek Taman Seri Kolam, Kuala Terengganu bagi memberi laluan projek perumahan Kampung Kolam. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil 3/2005 dalam  Mesyuaratnya  pada 16 Rabi‘Ul Akhir 1426h/25 Mei 2005 memberi kebenaran untuk menggali dan memindahkan kubur lama di atas tanah Lot 1690, Mukim Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka, bagi tujuan pembinaan bangunan kekal. Majlis Fatwa Negeri Kedah mengharuskan pemindahan kubur di Sungai Pau, Sik Kedah kerana pihak kerajaan ingin membina Empangan Beris yang dapat memberikan manfaat yang  cukup besar kepada rakyat Kedah khususnya seperti membekalkan air untuk tanaman dan ternakan, serta kehidupan seharian. Begitu juga dengan pemindahan sebuah kubur atas Lot PT 28 (Lot lama 496) Mukim 16, Seberang Perai Utara. Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk memberi kebenaran agar kubur tersebut dipindahkan ke Tanah Perkuburan Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Butterworth kerana kubur tersebut berada di tanah persendirian yang telah dibuat pengambilan oleh PERDA untuk tujuan pembangunan
 7.2     Pertembungan di Antara Beberapa Mafsadah

 Apabila kemudaratan yang lebih berat tidak dapat dihindarkan atau dihilangkan kecuali dengan menanggung kemudaratan yang lebih ringan maka kaedah fiqhiyyah di dalam Islam menentukan supaya ditanggung kemudaratan yang lebih ringan untuk menolak atau menghindarkan kemudaratan yang lebih besar. Keadaan masjid yang sempit dengan jumlah bilangan jemaah yang ramai adalah suasana yang serba tidak selesa. Sekiranya pada waktu yang sama terdapat tanah bersebelahan dengan masjid tersebut, maka pihak kerajaan diizinkan untuk mengambil tanah untuk membesarkan masjid bagi menjamin keselesaan para jemaah. Pembatalan hak milik peribadi adalah kemudaratan yang lebih kecil atau ringan.

 Dengan hujah di atas, pengambilan tanah berdasarkan kepada maslahah ammah adalah diharuskan dalam Islam dan dikecualikan daripada hukum yang asal. Ini kerana kedudukan maslahah ammah sentiasa diutamakan daripada maslahah khashah. Oleh itu para fuqaha menetapkan bahawa pelucutan hak milik individu untuk kemaslahatan ammah dilakukan secara paksa dari pemiliknya adalah diharuskan (Ali ‘Abd al-Wahid, 1979). Dalam hal ini, jika pemilik tanah menahan atau menentang tindakannya dianggap zalim dan berdosa (Sa‘ad Muhammad Khalil).

 Malah dalam satu insiden, Umar al-Khattab mengancam untuk membunuh seorang tuan tanah yang enggan membenarkan tanahnya digunakan untuk mengalirkan air ke tanah jirannya walaupun beliau tidak mengalami apa-apa kerugian. Al-Imam Malik dalam Al-Muwaththâm’ meriwayatkan bahawa:

 “Bersumber daripada Amr bin Yahya Al-Mazini, daripada ayahnya: “Sesungguhnya Al-Dhahhak bin Khalifah ingin mengalirkan air ladang miliknya dan itu harus melewati tanah Muhammad bin Maslamah. Oleh kerana Muhammad tidak mahu, Al-Dhahhak bertanya kepadanya: “Mengapa kamu menghalangiku? Sesungguhnya kamu juga akan beroleh manfaat. Dengan itu kamu boleh minum terus-terusan. Lagi pula tidak merugikan kamu”. Akan tetapi si Muhammad tetap saja tidak mahu. Ad-Dhahhak lalu melaporkan kejadian itu kepada ‘Umar bin Al-Khaththab, maka beliau lalu memanggil Muhammad bin Maslamah dan memerintahkan supaya dia memenuhi keinginan ad-Dhahhak. Namun tetap Muhammad menjawab: “Tidak”.  ‘Umar bin Al-Khaththab berkata: “Mengapa kamu halangi kepentingan saudaramu, sedangkan kamu juga akan mendapatkan faedah (keuntungan)? Kamu akan minum dengannya terus-terusan dan itu juga tidak membuatmu rugi”. Tetapi si Muhammad tetap menjawab: “Tidak”. ‘Umar lalu berkata: “Demi Allah, akan aku alirkan juga walaupun akan melewati (melintasi) perutmu.” Maka ‘Umar pun memerintahkan untuk mengalirkan, lalu Al-Dhahhak pun melakukannya. ”

(Hadis riwayat Malik)

 Dalam kes ini, pemilik tanah enggan memberi kebenaran tanahnya untuk memberi laluan air kepada tanah atau tanah-tanah jirannya yang tersekat itu, telah menyusahkan saudaranya, dianggap mementingkan diri sendiri dan sifat mementingkan diri sendiri sangat tercela kerana ia merupakan suatu unsur yang boleh melemahkan perpaduan. Dalam situasi ini, pemerintah dibenar campur tangan. Dalam kes yang lain, Ibu Qayyim al-Jauziyyah menyebutkan dalam kitabnya, At-Thuruq al-Hukmiyyah (1961) menceritakan satu kisah daripada hadis tentang campur tangan pemerintah dalam perkara pemilikan atas prinsip ditanggung kemudaratan yang lebih ringan untuk menolak atau menghindarkan kemudatan yang lebih besar. Hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:

“Diriwayatkan oleh Abu Hafsh lagi dengan isnâdnya daripada Muhammad (Al-Baqir) bin Ali (Zainal ‘Abidin) katanya: “Adalah bagi Samurah bin Jundub ada sebatang pokok kurma masuk di kebun seorang lelaki daripada golongan Anshar. Lelaki itu dan keluarganya sewaktu masuk ke kebunnya itu, maka pokok kurma itu telah menyakiti atau mengganggu mereka. Maka lelaki golongan Al-Anshar itu mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda kepadanya (Samurah pemilik kebun): “Jualkan (pokok kurma itu) kepadanya (lelaki Al-Anshar).”  Dia enggan. Sabda Baginda: “Maka potonglah pokok kurma itu.” Dia enggan juga. Sabda Baginda lagi: “Hadiahkan pokok kurma itu dan bagimu seumpamanya di syurga.” Dia enggan juga. Maka sabda Rasulullah Shallallahu ‘ alaihi wasallam kepada Samrah: “Kamu ini memudaratkan (membahayakan)”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda memerintahkan kepada lelaki Al-Anshar: “Pergi dan potonglah pokok kurma itu.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam kisah di atas, memusnahkan pokok kurma milik Samurah bin Jundub yang terdapat dalam kebun milik seorang lelaki Anshar mudarat yang lebih kecil berbanding dengan membiarkan keadaan yang boleh menimbulkan perbalahan antara pemilik pokok kurma dengan tuan tanah.     
7.3     Menghasilkan Kemanfaatan dan Menolak Kemudaratan  

 Menghasilkan kemanfaatan dan dalam masa yang sama menolak kemudaratan atau kerosakan. Prinsip ini diketengahkan oleh Imam Fakaruddin ar-Razi dan Imam al-Ghazali. Syariat Islam tidak membenarkan sebarang kemudaratan atau kerosakan berlaku dalam masyarakat dan mengalakkan mencari atau mencipta kemanfataan untuk faedah semua seperti firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan” dan surah a-Maidah ayat 6 yang bermaksud “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan”.

 Dalam konteks pengambilan tanah, matlamat yang ingin dicapai ialah memperoleh manfaat atau faedah dan dalam masa yang sama menolak kemudaratan atau kemusnahan. Penggunaan tanah hendaklah memberi faedah kepada umum disamping tiada impak negatif kepada masyarakat terutamanya kepada bekas tuan tanah. Dalam hal ini, ukuran manfaat kerosakan adalah bersandarkan kepada syarak, bukannya bersandarkan hukum akal kerana kadang-kadang orang menganggap sesuatu itu ‘manfaat’ sedangkan pada pandangan syarak sebenarnya mafsadah (kerosakan). Demikian juga sebaliknya seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud:

 “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal ia suatu kebencian bagi kamu, sedangkan mungkin kamu benci kepada sesuatu padahal ia merupakan kebaikan bagi kamu dan mungkin kamu benci kepada sesuatu padahal ia merupakan kebaikan bagi kamu dan mungkin kamu suka kepada sesuatu padahal ia merupakan tidak baik bagi kamu dan Allah itu mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”

                    (al-Baqarah,2 :216.)             
7.4     Maslahah Ammah Adalah Dharurah 
Menurut Al-Jurjani dalam At-Ta’rifat, dharurah berasal dari kata dharar. Kata dharar mempunyai tiga makna pokok, iaitu lawan dari manfaat (dhid al-naf’i), kesulitan/kesempitan (syiddah wa dhayq), dan buruknya keadaan (su`ul haal) (Al-Munawwir, 1984). Kata dharurah, dalam kamus Al-Mu’jam Al-Wasith mempunyai erti keperluan (hajah), sesuatu yang tidak dapat dihindari (laa madfa’a lahaa), dan kesulitan (masyaqqah). Dalam makna istilahnya, dharurah mempunyai banyak definisi yang hampir sama pengertiannya. Berikut berbagai definisi dharurah menurut ulama mazhab empat dan ulama kontemporer, yang terhimpun dalam kitab al-Dharurah wa Al-Hajah wa Atsaruhuma fi Al-Tasyri’ Al-Islami karya Abdul Wahhab Ibrahim Abu Sulaiman (1994), dan kitab Nazhariyyah Al-Dharurah Al-Syar’iyah karya Wahbah Az-Zuhaili (1997).
Menurut fuqaha mazhab seperti Hanaf Al-Jashshash dalam Ahkamul Qur`an ketika membahas makhmashah (kelaparan parah) mengatakan, dharurah adalah rasa takut akan ditimpa kerosakan atau kehancuran terhadap jiwa atau sebahagian anggota tubuh bila tidak makan. Al-Bazdawi dalam Kasyful Asrar menyebutkan definisi serupa, iaitu dharurah dalam hubungannya dengan kelaparan parah (makhmashah), ialah jika seseorang tidak mau makan, dikhawatirkan ia akan kehilangan jiwa atau anggota badannya. Sedang dalam kitab Durar Al-Ahkam Syarah Majallah Al-Ahkam, Ali Haidar mengatakan, dharurah adalah keadaan yang memaksa (seseorang) untuk mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh syara’ (al-halah al-mulji`ah li tanawul al-mamnu’ syar’an).
Menurut fuqaha mazhab Maliki seperti Ibn Jizzi Al-Gharnati dalam Al-Qawanin Al-Fiqhiyah dan Al-Dardir dalam Al-Syarh Al-Kabir mengatakan, dharurah ialah kekhawatiran akan mengalami kematian (khauf al-maut). Dan tidak disyaratkan seseorang harus menunggu sampai (benar-benar) datangnya kematian, tapi cukuplah dengan adanya kekhawatiran akan mati, sekalipun dalam tingkat dugaan (zhann).
Menurut fuqaha mazhab seperti Imam Suyuthi dalam Al-Asybah wa An-Nazha`ir mengatakan dharurah adalah sampainya seseorang pada batas di mana jika ia tidak memakan yang dilarang, ia akan binasa (mati) atau mendekati binasa. Muhammad Al-Khathib Al-Syarbaini dalam Mughni Al-Muhtaj menyatakan, dharurah adalah rasa khawatir akan terjadinya kematian atau sakit yang menakutkan atau menjadi semakin parahnya penyakit ataupun semakin lamanya sakit dan ia tidak mendapatkan yang halal untuk dimakan, yang ada hanya yang haram, maka saat itu ia mesti makan yang haram itu.
 
Menurut fuqaha mazhab Hambal seperti Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni  menyatakan, dharurah yang membolehkan seseorang makan yang haram (al-dharurah al-mubahah) adalah dharurah yang dikhawatirkan akan membuat seseorang binasa jika ia tidak makan yang haram. Menurut ulama kontemporer seperti Muhamad Abu Zahrah dalam Ushul Al-Fiqh mendefinisikan dharurah sebagai kekhawatiran akan terancamnya kehidupan jika tidak memakan yang diharamkan, atau khawatir akan musnahnya seluruh harta miliknya. Mustafa Az-Zarqa` dalam Al-Madkhal Al-Fiqhi Al-‘Aam berkata, dharurah adalah sesuatu yang jika diabaikan akan berakibat bahaya, sebagaimana halnya al-ikrah al-mulji` (paksaan yang mengancam jiwa) dan khawatir akan binasa (mati) kerana kelaparan. Wahbah al-Zuhaili dalam Nazhariyyah Al-Dharurah mendefinisikan dharurah adalah datangnya bahaya (khathr) pada manusia atau kesulitan (masyaqqah) yang amat berat, yang membuat dia khawatir akan terjadinya mudarat atau sesuatu yang menyakitkan atas jiwa, anggota tubuh, kehormatan, akal, harta, dan yang bertalian dengannya.
Berbagai definisi ulama mazhab empat mempunyai pengertian yang hampir sama, iaitu kondisi terpaksa yang dikhawatirkan dapat menimbulkan kematian, atau mendekati kematian. Dengan kata lain, semuanya mengarah kepada tujuan pemeliharaan jiwa (hifh an-nafs). Wahbah al-Zuhaili menilai definisi tersebut tidaklah lengkap, sebab menurutnya, definisi dharurah haruslah mencakup semua yang berakibat dibolehkannya yang haram atau ditinggalkannya yang wajib. Maka dari itu, al-Zuhaili menambahkan tujuan selain memelihara jiwa, seperti tujuan memelihara akal, kehormatan, dan harta. Abu Zahrah juga menambahkan tujuan pemeliharaan harta, sama dengan al-Zuhaili.
 
Sesungguhnya definisi dharurah haruslah dikembalikan pada nas-nas yang menjadi sumber pembahasan dharurah, sebab istilah dharurah memang bersumber dari beberapa ayat al-Qur`an, seperti dalam surah al-Baqarah [2]: 173; al-Maa`idah [5]: 3; al-An‘aam [6]: 119; al-An‘aam [6]: 145; dan an-Nahl [16]: 115 (Asjmuni Abdurrahman, 2003). Ayat-ayat ini intinya menerangkan kondisi dharurah kerana terancamnya jiwa jika tidak memakan yang haram, seperti bangkai dan daging babi. Jadi, kunci persoalannya bukanlah pada lengkap tidaknya definisi dharurah, melainkan pada makna dalil-dalil syar’i yang mendasari definisi dharurah itu sendiri (http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2410-sn237-mahukah-anda-berzina-dengan-ibu-sendiri).
Berdasarkan ayat-ayat itulah, Syaikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam Asy-Syakhshiyah Al-Islamiyah (III/477) menyatakan, definisi dharurah adalah keterpaksaan yang sangat mendesak yang dikhawatirkan akan dapat menimbulkan kebinasaan/ kematian (al-idhthirar al-mulji` alladzi yukhsya minhu al-halak). Inilah definisi dharurah yang sahih, iaitu kondisi terpaksa yang membolehkan yang haram, sebagaimana termaktub dalam kaedah yang masyhur: al-dharurat tubiih al-mahzhuurat (Kondisi darurat membolehkan yang diharamkan). Definisi Taqiyuddin An-Nabhani ini dekat dengan definisi Mustafa Az-Zarqa` dan kurang lebih sama maknanya dengan definisi ulama mazhab empat. Dari definisi dharurah yang rajih tersebut, kita dapat mengetahui cakupan dharurah iaitu kondisi terpaksa yang berkaitan dengan pemeliharaan jiwa (hifzh an-nafs), seperti misalnya orang kelaparan yang terancam jiwanya yang tidak mendapatkan makanan selain daging babi atau bangkai (Muhlish Usman, 1996)  atau seperti orang yang diancam akan dibunuh jika tidak mahu mengucapkan kata-kata kufur, asalkan hatinya tetap beriman ( Dja’far Amir, t.t.:37).
 
Mengikut Abdul Qodir Salam, (1996)  terminologi  al-dharurat ini berkait rapat dengan  al-hajat atau keperluan atau hak. Mengikut syariat Islam, setiap individu mempunyai hak-hak tertentu yang ditetapkan dan hak ini dijamin oleh syarak. Antara hak-hak tersebut ialah hak mendapat laluan (jalan) untuk sampai ke tanah miliknya, hak mendapat kemudahan air, hak membina saluran air dan hak membina peparitan. Hak ini boleh ditakrifkan sebagai satu hak yang sabit ke atas harta tak alih bagi kepentingan harta tak alih yang lain tanpa mengambil kira sesiapa pemilik harta itu. (Abdul Karim Zaidan). Pemilik tanah yang tidak mendapat kemudahan air, boleh membina saluran bagi mendapat kemudahan tersebut dari punca yang terdekat dengan kawasannya walaupun terpaksa dibina atas atau kawasan orang lain. Dia juga boleh meminta kebenaran untuk menyambung saluran yang telah sedia ada di dalam kawasan orang lain ke dalam kawasan atau tanahnya.  Dia juga boleh berkongi dengan orang berkenaan bagi membina saluran ke kawasannya. Ini bermakna, tidak ada sesiapa boleh menghalang orang yang memerlukan kemudahan air, membina saluran air ke kawasannya melalui tanah atau kawasan kepunyaan orang lain. Tuan tanah tidak boleh menghalang tuan tuan punya saluran tersebut daripada melakukan kerja-kerja penjagaan saluran itu dari masa ke semasa. Sebaliknya pula, tuan punya saluran itu perlu menghormati tuan tanah tempat saluran itu dengan tidak melakukan yang mendatangkan kerosakan kepada kawasan atau tanah berkenaan.
 
Masalahnya, tidak semua tuan tanah bersetuju dan membenarkan saluran air dibina atas tanah tanahnya dengan berbagai alasan. Keengganan ini menyebabkan air tidak dapat disalurkan. Ketiadaan saluran air ini menimbulkan kemuradatan dan kesusahan besar, apatah lagi tiada sumber lain seperti sumber mata air atau perigi. Bila keadaan ini berterusan, tuan tanah yang tidak mendapat bekalan air akan mengambil tindakan agresif dan ini boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan. Apatah lagi ramai tuan-tuan tanah berada dalam keadaan demikian. Pada ketika ini, maslahah ammah berada pada tahap dharurah di mana tiada pilihan kecuali menyediakan kemudahan tersebut. Kalau terjadi demikian, kemudaratan wajib dihilangkan secepat yang mungkin sesuai dengan keadah “kemudaratan itu harus dihapuskan’ dan ‘keperluan umum menepati dharurah.    
   
Begitu juga dengan pembinaan projek kemudahan awam dan infrastruktur seperti membina jalan-jalan baru di kampung-kampung dan penempatan yang terpencil untuk meningkatkan tahap aksesibiliti penduduk luar bandar dan menghubungkan kampung-kampung di pedalaman dengan pekan dan bandar sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi di mana hasil keluaran setempat dan hasil pertanian dan industri asas tani dapat di pasarkan dengan lebih mudah, cepat dan lebih ekonomi, seterusnya, memberi sumbangan kepada usaha-usaha peningkatan ekonomi negara. Mengikut laporan, banyak projek ini lewat jadual atau tidak dapat dilaksanakan serta menemui jalan buntu kerana ada tuan-tuan tanah yang enggan membenarkan tanahnya digunakan bagi tujuan ini. Disebabkan oleh dua atau tiga orang yang tidak membenarkan, maka projek tidak dapat dilaksanakan. Tindakan ini amat merugikan kerana hak mendapat jalan masuk adalah merupakan hak yang dijamin oleh Islam. Justeru, pengambilan tanah secara paksa dan tidak mendapat kebenaran tuan tanah oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini dapat dikategorikan sebagai dharurah, dimana kerajaan boleh melakukan sesuatu yang pada asalnya ditegah. 

 

(BERSAMBUNG DI BAHAGIAN KETIGA)

1 comment:

  1. Mempunyai satu rumah sendiri merupakan impian utk semua orang. Ia adalah perlindungan yang amat penting bagi sekeluarga.

    ReplyDelete